Beli Jam Tangan Xiaomi Mi Smart Band 6 di Shopee

Dah sampai jam tangan Mi Smart Band 6 yang aku beli online di Shopee. Bertahun-tahun aku tak pakai jam tangan, sekarang rasa nak pakai balik. Selama ni aku tengok jam dekat phone je.

Dulu aku tak berminat nak beli jam tangan jenis smart watch atau jam tangan pintar sebab bukan keperluan. Lepas tu dengar orang cakap bateri smart watch cepat habis.

Malas lah kalau selalu sangat kena cas bateri dia.

Jam tangan biasa yang bateri tahan lama tu pun rasanya dah hampir 10 tahun aku tak pakai. Tersimpan je dalam stor kat rumah. Elok lagi jam tu. Bateri pun masih hidup.

Xiaomi Mi Smart Band 6
Mi Smart Band 6 beli di Shopee

Baru-baru ni aku tertengok video ulasan smart watch kat TikTok. Rupanya tahan 2-3 minggu juga bateri smart watch ni lepas cas penuh. Takda la cepat sangat habis bateri dia.

Semua bergantung pada cara penggunaan. Ada fungsi tertentu pada smart watch yang tak perlu ‘ON’ sepanjang masa. Boleh dimatikan fungsi-fungsi tu untuk lebih jimat bateri.

Ketahanan bateri tu buat aku rasa tertarik nak cuba pakai jam tangan pintar. Lepas survey beberapa model smart watch, aku pun beli Mi Smart Band 6 daripada Xiaomi. Smart watch pertama aku.

Smart watch Mi Smart Band 6

Beza Smart Band dan Smart Watch

Mi Smart Band 6 ni sebenarnya bukan smart watch. Tengok nama dia pun dah tahu ianya sejenis smart band atau gelang pintar.

Smart band berbeza dengan smart watch. Perbezaan dia pun banyak dari segi fungsi, ciri-ciri, rekabentuk dan saiz, serta harga.

Fungsi

Smart Band – lebih khusus sebagai pemantau atau penjejak kesihatan (fitness tracker). Dia ada fungsi untuk merekod aktiviti bersukan atau bersenam yang kita buat seperti berjalan, berlari, berenang, berbasikal, yoga, zumba, dan lain-lain.

Selain tu boleh juga untuk periksa kadar degupan jantung, tahap oksigen dalam darah (SpO2), mengukur kualiti tidur, dan terima notifikasi call / mesej dari phone. Cuma tak boleh jawab call dan balas mesej je.

Smart Watch – fungsinya sama seperti smart band, malah ada lebih banyak ciri-ciri pintar berbanding smart band seperti GPS terbina, boleh install aplikasi pihak ketiga, jawab call atau balas mesej secara terus dari jam tangan tu. Ada juga smart watch yang menyokong eSIM.

Boleh dikatakan smart watch ni ibarat 2 peranti (smartphone dan smart band) yang digabungkan menjadi satu. Macam kita pakai smartphone dalam bentuk jam tangan.

Reka Bentuk dan Saiz

Reka bentuk dan saiz pun berbeza. Smart band biasanya bersaiz kecil macam gelang tangan. Smart watch pula lebih besar macam jam tangan biasa tu. Ada bentuk petak, ada bentuk bulat.

Tengok pada saiz tu mudah nak bezakan yang mana smart band, yang mana smart watch.

Harga

Dari segi harga – Smart band lebih murah. Smart watch mahal sikit harga dia.

Tapi ada juga smart watch yang lebih murah daripada smart band. Cuma kualiti dan prestasi dia tak tahu la macam mana kalau yang murah sangat tu.

Beza smart band dan smartwatch

Smart band dan smart watch ada bermacam model dan jenama. Kalau nak beli rasanya lebih baik pilih dari jenama yang dah dikenali seperti Xiaomi, Realme, Dizo, Amazfit, Garmin, Huawei, Honor, Fitbit, dan banyak lagi.

Pilih Smart Band atau Smart Watch?

Antara faktor pemilihan smart band atau smart watch yang perlu dipertimbangkan:

  • Harga dan bajet
  • Saiz dan kualiti paparan
  • Gaya dan keselesaan
  • Fungsi dan ciri-ciri
  • Jangka hayat bateri

Kira dulu berapa bajet yang korang ada. Senang nak survey model-model smart band atau smart watch dalam lingkungan harga yang mampu beli.

Lepas tu tengok saiz yang korang nak. Suka saiz besar, pilih smart watch. Suka saiz kecil, pilih smart band. Ikut citarasa sendiri yang mana sesuai nak dipakai dan digayakan nanti.

Aku lebih suka smart band sebab design dan saiznya yang kecil tu. Aku tak suka jam besar. Tak selesa pakai kat tangan. Sebab tu aku beli Mi Smart Band 6 walaupun ada smart watch yang harganya lebih kurang sama.

Mi Smart Band 6 smartwatch

Kedua-dua smart band dan smart watch boleh berfungsi sebagai fitness tracker untuk aktiviti bersukan atau bersenam. Cuma berbeza pada jumlah mod sukan yang disediakan.

Kalau gemar bersukan seperti berenang, berbasikal dan sebagainya, aku rasa smart band adalah yang terbaik sebab bateri tahan lama, tahan lasak, kalis air, dan saiznya yang kecil lebih selesa dipakai semasa bersukan dan bersenam.

Fungsi Xiaomi Mi Smart Band 6

Mulanya aku ingat nak beli Mi Smart Band 5 je. Model lama. Bila tengok Mi Smart Band 6 model keluaran tahun lepas (2021), rasa tertarik pula dengan saiz skrin Smart Band 6 yang lebih luas.

Model terbaru Mi Smart Band 7. Tapi harga dia lebih mahal. Tak cukup bajet. Kalau tak aku dah beli Smart Band 7 kot.

Dapat pakai Smart Band 6 pun ok lah.. Fungsi-fungsi asas yang ada pun dah cukup untuk aku.

Aku beli Mi Smart Band 6 di kedai Dasher Online Store (Shopee Mall).

One comment

Tinggalkan Komen Anda

Your email address will not be published. Required fields are marked *